Tunku Putra-Help International School Launching_13_media

Majlis Pelancaran Penubuhan Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP di Kuching, Sarawak oleh Cahya Mata Sarawak Berhad, Ibraco Berhad dan HELP Education Group

Kuching (Sarawak), Friday, 9 March 2018 – Majlis pelancaran penubuhan Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP telah diadakan pada hari ini. Majlis pelancaran ini disertai oleh Cahya Mata Sarawak Berhad, Ibraco Berhad dan HELP Education Group. Majlis pelancaran ini telah diserikan dengan kehadiran Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Berhormat Dato Sri Michael Manyin ak. Jawong, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Negeri Sarawak mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Kerjasama di antara tiga buah organisasi yang memiliki reputasi tinggi ini menjanjikan penyampaian pendidikan dan kemudahan berkelas dunia dengan yuran berpatutan kepada rakyat Sarawak. Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP yang baharu akan memulakan pengambilan kumpulan pelajar yang pertama pada Januari 2020 di kampus baharunya yang akan dibina dengan tujuan khusus serta kapasiti yang dapat menampung 1,500 orang pelajar. Terletak di lokasi yang strategik di NorthBank, Tabuan Jaya, sebuah pusat perumahan di Kuching, sekolah tersebut akan menawarkan kedua-dua kurikulum kebangsaan dan antarabangsa, untuk pelajar peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan A-Level.

“Tabuan Jaya sudah berkembang secara berterusan dan kami mengalu-alukan kampus baharu yang akan dibina dengan tujuan khusus serta kemudahan canggih yang boleh digunakan pelajar. Kami mahu menyampaikan kecemerlangan dalam pendidikan kepada masyarakat kita menerusi Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP,” kata Pengarah Urusan Ibraco Berhad, Datuk Chew Chiaw Han.

Program antarabangsa sekolah itu akan menawarkan Kurikulum Pendidikan British bagi mendapatkan kelayakan A-Level CIE dan IGCSE yang diiktiraf dengan meluas dan diterima oleh universiti-universiti terbaik di dunia. Program kebangsaan akan menawarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Matematik dan Sains selanjutnya dilengkapi dengan sukatan pelajaran Singapura dan Britain.

Dengan menggabungkan perkara terbaik dalam pendidikan Barat dan Timur, pelajar dapat membentuk kemahiran berfikir pada peringkat lebih tinggi atau ‘higher order thinking skills’ (HOTS), dan akan menguasai minimum empat bahasa: Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Malaysia dan Bahasa Sepanyol. Ini akan membolehkan mereka untuk bekerja atau menjalankan urusan di lebih 70 peratus negara di dunia. “Pelajar kami di Sekolah Tunku Putra suka belajar dan merupakan individu yang petah, yakin dan bersemangat. Saya sangat bangga dan teruja bagi pelajar kita yang berpeluang untuk meningkatkan lagi pengalaman pembelajaran di Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP,” ujar Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad dan merangkap Pengerusi Sekolah Tunku Putra.

Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud menyatakan Sekolah Tunku Putra telah ditubuhkan pada tahun 1996 dan telah dibina dengan persekitaran khusus dan kondusif untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya. Kerjasama di antara ketiga-tiga organisasi terbabit akan membawa sekolah itu ke tahap seterusnya dan menawarkan peluang pendidikan yang lebih luas kepada negeri ini. “Kemajuan pendidikan merupakan satu keutamaan bagi negara kita kerana ia akan memainkan peranan penting dalam pembangunan bandar raya, negeri dan negara kita,” kata Tuan Yang Terutama.

HELP Education Group, yang berjaya menubuhkan Universiti HELP dan dua buah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dan Johor untuk menarik lebih 11,000 orang pelajar ke universitinya dan lebih 2,000 ke sekolah antarabangsanya, akan menyumbang kepakaran dan pengalamannya yang meluas untuk menubuhkan Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP. Universiti HELP mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam usaha mendidik pelajar terbaik yang telah menerima biasiswa untuk belajar di universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia termasuk Cambridge, Harvard, MIT, UCLA, London School of Economics, Imperial College London dan Australian National University.

“Masa depan negara kita bergantung kepada pendidikan yang berkualiti. Justeru itu, HELP amat berbesar hati dengan perkongsian sinergi bersama Cahya Mata Sarawak Berhad dan Ibraco Berhad dalam menubuhkan Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP (TPHIS), dimana kedua-dua institusi berpegang dan berkongsi visi dan nilai-nilai yang sama. Kepakaran sebagai peneraju dalam pendidikan inovatif dan pengalaman pengurusan yang meluas yang dimiliki oleh HELP semestinya dapat memastikan piawaian akademik TPHIS dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Baru-baru ini, Sekolah Antarabangsa HELP di Kuala Lumpur telah mendapat status akreditasi sebagai Sekolah IPC (International Primary Curriculum) yang mana pengiktirafan ini diberikan atas kecemerlangan dalam penyampaian “International Primary Curriculum” yang berkualiti tinggi. Pencapaian yang membanggakan ini telah meletakkan kami di antara 20 sekolah akreditasi IPC daripada lebih 1,800 sekolah IPC yang terdiri dari sembilan puluh buah negara. Matlamat dalam tempoh lima tahun yang seterusnya adalah untuk menjadikan TPHIS sebagai salah satu sekolah antarabangsa yang terkemuka di Asia dan juga di seluruh dunia yang dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berpemikiran dan memiliki kemahiran sewajarnya untuk menakluki masa depan,” kata Datuk Dr Paul Chan selaku Pengasas Bersama, Naib Canselor dan Presiden Universiti HELP.

Keluarga yang mahukan maklumat lanjut mengenai Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP dijemput untuk menghubungi pihak sekolah di talian +6016-678 0351 atau emel di enquiry@tphis.edu.my. Maklumat lanjut juga boleh diperolehi di www.tphis.edu.my.